KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih podium pertamanya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Itali di tempat ketiga di Litar Mugello, hari ini.
Kejayaan itu sekali gus menandakan kemunculan cemerlang pelumba berusia 18 tahun tersebut dalam musim sulungnya bersaing secara sepenuh masa di pentas Moto3.
Hakim Danish memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa, disahkan tidak cergas untuk beraksi sekali gus membuka ruang kepadanya naik satu kedudukan di grid permulaan.
Dalam perlumbaan yang berlangsung sengit, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berjaya mengekalkan rentak kompetitif sebelum melintasi garisan penamat di tempat ketiga.
Beliau menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 0.456 saat di belakang pemenang, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang mencatat masa 33 minit 07.80 saat.
Tempat kedua pula menjadi milik rakan sepasukan Uriarte, Alvaro Carpe.
Hakim Danish mengakui kejayaan tersebut merupakan detik yang cukup bermakna dalam kariernya selepas beberapa kali hampir menjejakkan kaki ke podium.
“Saya sangat gembira dapat meraih podium pada musim pertama saya di Moto3. Ini adalah impian yang sudah lama saya nantikan.
“Perlumbaan ini sangat mencabar, tetapi saya berjaya mengharunginya dan akhirnya mencapai sasaran yang diimpikan,” katanya selepas perlumbaan.
Pencapaian itu turut menamatkan penantian Malaysia untuk kembali menaiki podium Moto3 sejak kali terakhir dilakukan Khairul Idham Pawi menerusi kemenangan pada GP Argentina pada tahun 2016.
Hasil keputusan di Mugello, Hakim Danish mengumpul 16 mata tambahan untuk mengekalkan kedudukan ke-11 dalam carta keseluruhan pelumba dengan 43 mata.
Beliau kini hanya empat mata di belakang David Munoz dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang menghuni tangga ke-10.
Sementara itu, kedudukan keseluruhan kejuaraan terus didahului pelumba CFMOTO Valresa Aspar Team, Maximo Quiles dengan kutipan 145 mata. – WacanaKini
