Politik Utama

SPR adakan mesyuarat khas PRN Johor pada 12 Jun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 12 Jun ini bagi menetapkan tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, suruhanjaya itu telah menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai pembubaran DUN pada 2 Jun lalu.

Menurut beliau, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan pelaksanaan PRN Johor.

“Antara yang akan diputuskan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari mengundi, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut bagi mengumumkan keputusan yang dicapai.

DUN Johor dibubarkan pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Dalam perkembangan sama, SPR turut membuka permohonan undi pos bagi PRN Johor bermula hari ini menerusi portal MySPR.

Khairul Shahril berkata, kemudahan itu melibatkan semua kategori pengundi pos termasuk anggota keselamatan dan petugas pilihan raya (Kategori 1A), rakyat Malaysia yang menetap di luar negara (Kategori 1B) serta agensi atau organisasi yang layak (Kategori 1C).

“Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian dan pemilih perlu mempunyai akaun MySPR sebelum mengemukakan permohonan undi pos,” katanya.

Tarikh tutup permohonan undi pos akan diumumkan selepas mesyuarat khas SPR, manakala sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada SPR menerusi talian rasmi atau e-mel yang disediakan. – WacanaKini