SKUDAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam arena politik.
Pemimpin DAP itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas melalui pertimbangan teliti serta perbincangan bersama keluarga dan individu terdekat yang banyak menyokong perjalanan politiknya selama ini.
Menurut Marina, beliau kini mahu kembali memberi fokus kepada aktiviti kemasyarakatan yang menjadi minat dan perjuangannya sebelum menyertai politik.
“Dengan penuh rasa rendah hati, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang dan berundur daripada dunia politik.
“Saya ingin kembali ke lapangan, mendekati masyarakat serta meneruskan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan yang dekat di hati saya sejak dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Marina yang memenangi kerusi DUN Skudai pada PRN Johor 2022 berkata, sepanjang hampir empat tahun memegang amanah sebagai wakil rakyat, beliau telah berusaha sedaya upaya memberikan khidmat terbaik kepada penduduk kawasan berkenaan.
Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat kelemahan atau kekurangan sepanjang melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN.
“Saya percaya setiap perjalanan mempunyai penghujungnya dan setiap pertemuan membawa makna tersendiri.
“Walaupun babak ini berakhir, komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak akan terhenti. Saya akan terus menyumbang dalam apa juga kapasiti yang mampu,” katanya.
Pada PRN Johor 2022, Marina mencipta kemenangan besar di DUN Skudai apabila memperoleh 26,359 undi untuk menewaskan calon MCA, Lim Soon Hai dan calon Gerakan, Khoo Kong Ek dengan majoriti 13,943 undi.
Beliau turut menegaskan akan terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sehingga tamat penggal dan penyerahan mandat kepada penyandang baharu selepas pilihan raya akan datang. – WacanaKini
