PUCHONG – Kerajaan Persekutuan menegaskan pendirian untuk terus mengiktiraf Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sambil mempertahankan kedaulatan serta kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang sistem pemerintahan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kerajaan pusat tidak terlibat secara langsung dalam urusan berkaitan pemerintahan Negeri Sembilan, sebarang pertikaian perlu ditangani mengikut saluran sah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.
Menurut beliau, institusi diraja bukan sekadar simbol negara, malah mempunyai kedudukan yang perlu dipelihara berdasarkan kaedah dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Kerajaan Persekutuan tetap mempertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
“Berdasarkan kedudukan semasa, kita terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sebarang pandangan atau bantahan hendaklah dikemukakan melalui jalur yang sah tanpa menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, Puchong, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai pertabalan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang diadakan di Melaka.
Mengulas perkembangan tersebut, Anwar mengakui situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana melibatkan institusi diraja yang mempunyai kedudukan penting dalam negara.
Katanya, mana-mana pihak berhak menggunakan saluran perundangan dan perlembagaan negeri untuk mengemukakan pandangan, namun tindakan itu perlu disertakan dengan asas dan hujah yang kukuh.
“Sebarang usaha menggugurkan atau memakzulkan seseorang raja mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan dan keamanan negara. Sebab itu perkara ini dipandang serius dan saya telah menyampaikan pandangan kerajaan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menyatakan sokongan terhadap keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapatkan mandat baharu rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut beliau, langkah itu dilihat sebagai jalan terbaik bagi meredakan kekeliruan yang timbul susulan kemelut berkenaan.
“Saya menyokong penuh keputusan Menteri Besar untuk mengadakan pilihan raya dan Tuanku juga telah memperkenankannya.
“Bagi kerajaan Persekutuan, pendirian kita jelas iaitu terus bersama Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, manakala sebarang proses lain boleh diteruskan mengikut saluran yang dibenarkan undang-undang,” katanya.
Semalam, Aminuddin mengumumkan DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16. – WacanaKini
