Jenayah Utama

Monash Malaysia kembali beroperasi selepas polis sahkan tiada ancaman bom

PETALING JAYA – Monash University Malaysia mengesahkan kampusnya di Sunway City serta Sekolah Klinikal Monash Johor Bahru (CSJB) kembali beroperasi seperti biasa selepas pihak polis selesai menjalankan pemeriksaan keselamatan susulan laporan ancaman bom yang diterima semalam.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi universiti itu hari ini, pihak pengurusan memaklumkan kedua-dua lokasi telah diberikan pelepasan oleh polis dan agensi berkaitan selepas penilaian keselamatan mendapati keadaan adalah selamat.

“Monash University Malaysia mengesahkan bahawa kampus CSJB turut menerima pelepasan daripada polis dan pihak berkuasa berkaitan selepas penilaian keselamatan dijalankan.

“Susulan selesainya siasatan dan pemeriksaan keselamatan, pihak polis telah membenarkan operasi kampus disambung semula seperti biasa berkuat kuasa serta-merta hari ini,” menurut kenyataan itu.

Universiti berkenaan memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam meneliti insiden tersebut mengikut prosedur keselamatan dan protokol sekuriti yang telah ditetapkan.

Pihak universiti turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan, pelajar dan pengunjung yang memberikan kerjasama sepanjang proses pemeriksaan dan siasatan dijalankan.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama serta sokongan semua pihak sepanjang insiden ini,” katanya.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya mengesahkan kawasan kampus Monash University Malaysia di Sunway City berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Semalam, universiti itu mengehadkan akses ke kampus buat sementara waktu selepas menerima laporan ancaman bom, selain mengaktifkan prosedur tindak balas kecemasan bagi memastikan keselamatan warga kampus.

Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh universiti dan pihak berkuasa serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan. – WacanaKini