BATU PAHAT – Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sebagai kesinambungan kepada corak hubungan politik parti itu dengan sekutu-sekutunya sebelum ini, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, keputusan yang dibuat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana beberapa parti yang pernah menjalin kerjasama dengan PAS sebelum ini turut melalui pengakhiran yang sama.
Saifuddin berkata, sejarah politik negara menunjukkan beberapa gabungan yang melibatkan PAS akhirnya berakhir dengan perpisahan, termasuk kerjasama bersama Semangat 46, Pakatan Harapan, UMNO menerusi Muafakat Nasional dan kini Bersatu.
“Kalau kita lihat rekod kerjasama politik PAS, banyak parti yang pernah berganding bahu dengannya akhirnya berdepan pengakhiran yang sama.
“Semangat 46, Pakatan Harapan, UMNO melalui Muafakat Nasional dan kini Bersatu. Masing-masing menerima nasib yang serupa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat pada Selasa.
Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad; Pengarah ADTEC Batu Pahat, Dr Muhammad Yusof dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata setiap kerjasama politik seharusnya dibina atas asas keadilan, perpaduan dan kepentingan rakyat, selaras dengan prinsip politik Islam yang menekankan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan kepimpinan.
“Prinsip politik Islam adalah menegakkan keadilan, mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta memperkukuh kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat.
“Itulah asas yang sepatutnya menjadi panduan dalam mana-mana kerjasama politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan hala tuju PAS selepas keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu, sambil menyifatkan perpisahan tersebut sebagai satu lagi episod dalam sejarah kerjasama politik parti berkenaan.
“Persoalannya sekarang, siapa pula yang akan menjadi rakan politik PAS selepas ini?
“Setiap kerjasama yang dibina akhirnya berakhir dengan perpisahan. Bezanya hanya pada bentuk dan tahap perpisahan itu,” katanya.
Semalam, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Keputusan itu sekali gus mengubah landskap politik pembangkang dan menandakan berakhirnya hubungan yang terjalin antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). – WacanaKini
