Politik Utama

Samsuri tegaskan PN bukan milik mana-mana parti, hala tuju perlu diputus secara muafakat

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai gabungan politik yang dibentuk atas semangat muafakat parti-parti pengasas dan bukan milik eksklusif mana-mana parti, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan kedudukan, masa depan atau hala tuju gabungan itu tidak boleh ditentukan secara unilateral, sebaliknya perlu dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan PN serta melalui saluran rasmi yang dipersetujui bersama.

“PN merupakan sebuah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan hasil persefahaman parti-parti pengasas. Oleh itu, segala perkara berkaitan masa depan gabungan ini perlu diputuskan secara bersama dan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Samsuri turut mengingatkan bahawa Pas merupakan antara parti yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PN, malah beliau sendiri terlibat sebagai salah seorang penandatangan rasmi ketika gabungan itu dibentuk.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran dan pengurusan PN terus berjalan secara teratur, berprinsip serta bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.

“Fokus saya adalah memastikan PN terus diurus dengan tertib serta berlandaskan prinsip yang dipersetujui bersama,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika landskap politik pembangkang menjadi perhatian susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat selepas parti itu meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa berhubung hubungan politik dengan Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menjelaskan bahawa keputusan berkenaan turut mengambil kira ketetapan Majlis Syura Ulama yang menilai aspek dasar, hukum dan maslahah dalam kerjasama politik berasaskan agenda penyatuan ummah.

Beliau turut memaklumkan Pas kini sedang meneroka bentuk kerjasama politik dan persefahaman baharu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Walaupun berdepan perkembangan tersebut, Ahmad Samsuri memberi isyarat bahawa masa depan PN perlu ditentukan secara kolektif oleh parti-parti yang membentuk gabungan itu, selaras dengan semangat penubuhannya. – WacanaKini