Nasional Utama

29 inovasi anak muda kejuruteraan dipamerkan di BEMYEIT 2026, AI dan kelestarian jadi tumpuan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 inovasi hasil cetusan idea pelajar dan graduan baharu daripada universiti awam serta swasta di seluruh negara dipamerkan menerusi BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026 (BEMYEIT 2026), dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), bahan kitar semula dan tenaga solar antara pendekatan utama diketengahkan.

Program anjuran Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) itu menjadi medan bagi bakat muda kejuruteraan menterjemahkan pengetahuan serta kemahiran yang dipelajari kepada penyelesaian praktikal untuk menangani cabaran dunia sebenar.

Menurut LJM, inovasi yang dipertandingkan merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi kesihatan, pembinaan lestari dan tenaga boleh baharu.

“Inovasi terbabit menunjukkan bagaimana ilmu kejuruteraan boleh diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat melangkaui penilaian akademik.

“Aspek kelestarian turut menjadi antara pertimbangan utama dalam penilaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dijadikan elemen penting dalam kriteria pengadilan,” menurut kenyataan LJM.

Dalam pertandingan itu, tiga projek muncul sebagai pemenang utama bagi kategori masing-masing menerusi penyelesaian inovatif berasaskan teknologi terkini dan kelestarian.

Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) meraih kemenangan bagi kategori Ijazah Kejuruteraan, Washington Accord menerusi projek Real-Time ECG Monitoring & Arrhythmia Classification System Using Deep Learning.

Inovasi berkenaan menggunakan teknologi pembelajaran mendalam bagi membolehkan pemantauan elektrokardiogram (ECG) secara masa nyata, selain membantu mengesan dan mengelaskan ketidaknormalan rentak jantung.

Bagi kategori Ijazah Teknologi Kejuruteraan, Sydney Accord, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula dinobatkan pemenang menerusi projek ReNova: Advancing Circular Construction Through Geopolymer-Enhanced Recycled Materials.

Projek itu meneroka penggunaan bahan kitar semula bersama teknologi geopolimer sebagai usaha memperkenalkan pendekatan pembinaan yang lebih mampan dan mesra alam.

Sementara itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memenangi kategori Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan, Dublin Accord menerusi Rainwater Harvesting Dual Source Irrigation System Powered by Solar.

Sistem itu menggabungkan teknologi penuaian air hujan dan penggunaan tenaga solar bagi menghasilkan kaedah pengairan yang lebih cekap serta lestari.

BEMYEIT 2026 turut diperkenalkan menerusi AccreNova, platform baharu LJM yang menggabungkan elemen akreditasi, pendidikan kejuruteraan dan inovasi.

Platform itu dilancarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi sempena National Engineering Convention 2026 (NEC2026).

NEC2026 yang berlangsung dari 17 hingga 20 Ogos lalu mengangkat tema “Engineering with Integrity in the Digital Age” dan menghimpunkan wakil kerajaan, akademia, industri serta komuniti kejuruteraan.

Konvensyen itu menjadi ruang pertukaran pandangan mengenai perkembangan teknologi, inovasi, pendidikan kejuruteraan dan hala tuju masa depan profesion tersebut.

Melalui BEMYEIT, LJM berharap generasi jurutera baharu dapat membangunkan penyelesaian yang bukan sahaja berdaya maju dari sudut teknikal, malah mengambil kira masalah yang ingin ditangani, kumpulan sasar yang menerima manfaat serta kesan jangka panjang terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Dalam pada itu, LJM mengingatkan graduan bidang kejuruteraan supaya mendaftar sebagai Jurutera Siswazah dengan LJM sebelum memulakan kerjaya dalam profesion berkenaan, selaras dengan keperluan Akta Pendaftaran Jurutera 1967.

Tagged