KUALA LUMPUR – Seramai 1,400 pemandiri keganasan rumah tangga di seluruh negara bakal mendapat manfaat sokongan pemulihan dan pemerkasaan menerusi Program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) sepanjang tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 peserta di setiap negeri.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu pemandiri membina semula keyakinan diri serta meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera.
“Program bertemakan Road to Eliminate Violence Against Women (EVAW) itu akan dilaksanakan melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara.
“Pelaksanaannya merangkumi sesi advokasi, perkongsian maklumat, sokongan psikososial, K-Chat serta pemadanan rujukan mengikut keperluan peserta,” katanya dalam kenyataan.
Nancy berkata, pelaksanaan SARI@KRT turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bantuan Guaman serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan pemandiri bukan sahaja memperoleh maklumat berkaitan bantuan yang tersedia, malah mendapat akses kepada perkhidmatan dan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Program SARI@KRT turut memberi penekanan kepada pengetahuan mengenai hak pemandiri, saluran bantuan dan perkhidmatan yang tersedia, selain menghubungkan mereka dengan sistem sokongan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan diharap dapat membantu pemandiri melalui proses pemulihan secara lebih menyeluruh, selain memperkasa mereka untuk membina semula kehidupan tanpa terus terperangkap dalam kitaran keganasan rumah tangga. – WacanaKini
