Politik Utama

Salleh turun padang pantau Pan Borneo Sabah, fokus selesaikan pakej lewat

KUALA LUMPUR – Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak memulakan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab menguruskan projek berkenaan.

Menurut beliau, pertemuan itu bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai status semasa setiap pakej pembinaan, termasuk mengenal pasti punca kelewatan yang berlaku dalam beberapa pakej projek.

Salleh menegaskan pendekatannya bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya memahami cabaran sebenar di lapangan serta membantu mencari penyelesaian yang praktikal demi memastikan projek strategik itu dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Lebuhraya Pan Borneo merupakan nadi pembangunan Sabah. Ia bukan sekadar projek jalan raya, malah menjadi pemangkin kepada hubungan antara daerah, pergerakan rakyat, aktiviti ekonomi, logistik dan pembangunan negeri secara keseluruhan.

“Kami turut membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membantu mengatasi isu yang menjejaskan pelaksanaan beberapa pakej yang mengalami kelewatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat bersama pihak JKR mengenai kemajuan projek Pan Borneo Sabah.

Dalam perkembangan sama, Salleh memaklumkan beliau akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi projek yang dikenal pasti lewat daripada jadual bagi menilai sendiri keadaan di tapak serta memahami cabaran yang dihadapi kontraktor dan agensi pelaksana.

Katanya, tindakan proaktif perlu diambil lebih awal memandangkan kos pembinaan dan logistik yang semakin meningkat boleh memberi kesan kepada tempoh pelaksanaan projek.

“Sebarang kelewatan perlu ditangani segera supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat mengikut tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah merupakan antara projek infrastruktur terbesar negara yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan jaringan pengangkutan di negeri itu. – WacanaKini